KUALA LUMPUR: Yayasan Hasanah bersama Kementerian Kewangan melancarkan Geran Khas Hasanah 2020 (HSG2020) yang boleh dimohon bermula hari ini khusus untuk membantu golongan B40 dan komuniti terpinggir lain.
Dalam satu kenyataan, yayasan itu berkata, kerjasama adalah tindak balas kepada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, untuk mengurangkan kesan ekonomi ekoran pandemik COVID-19.
Geran itu, katanya bertujuan untuk menyokong program yang akan meningkatkan kualiti hidup masyarakat B40 yang merangkumi warga pelarian, orang asli, warga emas, wanita dan kanak-kanak serta mereka yang berkeperluan khas di seluruh negara.
“Kami berharap pemberian dana ini membolehkan mobilisasi sumber yang pantas kepada organisasi masyarakat awam (CS), organisasi bukan kerajaan (NGO) dan perusahaan sosial untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan membantu
mereka kembali pulih daripada impak COVID-19,” katanya.
Mengulas lanjut, yayasan itu berkata, projek-projek boleh dilaksanakan dalam jangka masa tiga hingga 12 bulan iaitu dari Mei tahun ini dan sehingga April 2021 serta semasa dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Secara amnya, ia berkata, saiz maksimum dana itu untuk sebarang projek adalah sehingga RM250,000.
“Pemohon perlu memenuhi kriteria ditetapkan bagi membolehkan mereka layak menerima geran ini iaitu antaranya berdaftar di dalam negara dan didaftarkan secara sah dengan pihak berkuasa berkaitan atau untuk perusahaan sosial, syarikat itu telah berdaftar mengikut Akta Syarikat 1965.
“Telah ditubuh dan didaftarkan sekurang-kurangnya dua tahun sebelum dipertimbangkan untuk anugerah HSG2020, telah mengaudit akaun kewangan selama setahun atau menyerahkan Penyata Tahunan kepada Pendaftar Pertubuhan.
“Bertanggungjawab secara langsung untuk penyediaan, pelaksanaan dan pengurusan projek dan bukannya sebagai perantara; mempunyai rekod prestasi bekerja dengan komuniti sejak dua tahun lalu; berupaya menunjukkan kapasiti dan struktur di tempatnya untuk segera memulakan projek dan mematuhi keperluan Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam tempoh PKP,” katanya.
Pemohon yang layak boleh mengemukakan cadangan dan dokumentasi yang relevan menerusi portal dalam talian di www.yayasanhasanah.org.my, dari 15 April 2020 hingga 15 Oktober 2020.
Keputusan mengenai permohonan yang berjaya akan dibuat secara bersama oleh Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan, dan pemohon akan dimaklumkan dalam tempoh 30 hari setelah permohonan dihantar.