KUALA LUMPUR: Bekas atlet olahraga negara yang menjadi mangsa banjir kilat di Kajang, Sabtu lalu, S Silvadurai menerima sumbangan Skim Bantuan Khas Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB)- Bencana Alam, hari ini.
Silvadurai yang pernah mewakili negara di Sukan Asia dan Sukan SEA pada era 70-an dan 80-an, turut ditawarkan mengikuti kursus kemahiran dan keusahawanan yang diusahakan YAKEB bersama Yayasan Hasanah bermula Ogos ini.
“Saya amat berterima kasih kepada YAKEB kerana datang menghulurkan bantuan ini,” kata Silvadurai yang juga pesara Telekom Malaysia.
“Pada masa kejadian, air mula memasuki rumah pada 7.30 malam. Barang-barang seperti katil, almari semuanya habis. Saya kembali memasuki rumah pada 3 pagi.”DISYORKAN UNTUK ANDA
Silvadurai yang menyertai Sukan Asia 1978, dan Sukan SEA 1977, 1979, 1981 dan 1983 dengan pencapaian terbaik meraih pingat perak itu turut mengalami masalah katarak namun sudah menjalani rawatan.
“Pandangan saya kabur, boleh membaca tetapi apabila berada di luar, pandangan menjadi kabur. Saya melakukan rawatan menggunakan skim pencen,” katanya yang menerima kunjungan Skuad YAKEB di bawah aktiviti ‘Visit&Treat' itu.
Selasa lalu, bekas atlet boling padang para negara, Halimah Hassan turut menerima sumbangan bernilai RM500 selepas rumahnya terjejas teruk selepas dilanda banjir kilat.
Halimah pernah mewakili negara selama sembilan tahun dari 2006 hingga 2014 dengan pencapaian terbaiknya memenangi pingat emas di Kejohanan FESPIC Para ASEAN 2006 dan gangsa di Para ASEAN 2014.